Sekiranya anda ingin memohon pinjaman perumahan, salah satu perkara yang perlu anda ketahui adalah rekod kredit anda pada CCRIS atau CTOS. Ini merupakan perkara yang akan disemak oleh pihak bank sebelum mereka meluluskan atau menolak permohonan anda.
Artikel ini diterjemah dari ‘Blacklisted’ By CCRIS/CTOS? Here’s 4 Tips To Get A Home Loan In Malaysia oleh Ashraf Wahab.
Apa yang dipertimbangkan oleh pihak bank semasa anda membuat permohonan pinjaman perumahan? Apakah pula CCRIS dan CTOS? Kedua-duanya merupakan laporan kredit yang membantu institusi kewangan menilai tahap kesihatan kewangan anda dan juga keupayaan untuk membuat bayaran balik bulanan.
Jadi, apakah itu CCRIS? CCRIS adalah singkatan kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan ia dimiliki dan dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Apakah pula CTOS? CTOS merupakan agensi pelaporan kredit yang mengumpul dan menyusun data yang tersedia daripada sumber awam yang sah dan agensi kerajaan yang mempunyai kuasa.
Maklumat yang dikumpul adalah mengenai individu atau pengarah syarikat dan kepentingan perniagaan, litigasi dan maklumat undang-undang, sejarah pembayaran perbankan (ringkasan CCRIS, butiran dan derivatif), dan butiran rujukan perdagangan.
Sekiranya anda mempunyai rekod kredit buruk pada CCRIS dan CTOS, ia biasanya disebut sebagai “disenarai hitam oleh CCRIS atau CTOS”. Namun, ia bukanlah titik pengakhiran.
Untuk mengetahui cara untuk memulihkan rekod CCRIS dan CTOS anda serta petua lain untuk mendapatkan kelulusan pinjaman rumah, kami telah menemubual Andrew Hooi, pengasas Smart Choice Solution Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding gadai janji yang berpangkalan di Damansara Intan, Petaling Jaya.
BACA: Tips untuk memperbaiki skor CTOS dan CCRIS
Pengurusan kewangan yang lemah boleh menyebabkan hutang. Berbelanja lebih daripada kemampuan atau pembayaran yang lewat juga boleh membawa kepada sejarah kredit yang buruk pada CCRIS dan CTOS. Seterusnya, anda boleh disenaraihitamkan oleh pihak bank.
Menurut Hooi, berikut ialah 5 punca utama rakyat malaysia yang mempunyai rekod kredit buruk:
Kebanyakan orang mempunyai bil kad kredit dan pembayaran balik pinjaman yang perlu dibuat. Walaupun kita kadang-kadang terlepas satu atau dua pembayaran akibat kesibukan atau terlupa mengenainya, pembayaran yang lewat secara berulang akan mengakibatkan rekod kredit yang buruk.
Pembayaran lewat akan dipaparkan pada laporan CCRIS anda kerana BNM mengumpul sejarah peminjaman dan pembayaran balik anda daripada bank yang mengambil bahagian.
Kebanyakan orang akan membuat pinjaman dalam hidup mereka untuk membeli rumah, membeli kereta atau memulakan perniagaan. Kemudian terdapat kad kredit, yang boleh menyebabkan orang berbelanja lebih daripada kemampuan. Mereka yang tidak mampu membayar balik pinjaman dan hutang ini boleh diisytiharkan muflis.
Bank Negara telah menubuhkan Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK), untuk membantu orang ramai menguruskan hutang mereka. Salah satu cara yang digunakan adalah dengan menstruktur semula pinjaman sedia ada supaya orang ramai dapat membuat pembayaran balik dengan lebih mudah.
Sekiranya anda telah mendapatkan bantuan AKPK untuk penstrukturan semula pinjaman, ia akan memberikan kesan negatif kepada skor kredit anda.
Jika anda telah gagal membayar pinjaman lebih daripada 90 hari, ia dianggap sebagai pinjaman tidak berbayar. Bank kemudian akan meletakkan pinjaman ini di bawah “akaun di bawah pemerhatian khas”, yang bermaksud mereka memantau akaun tersebut dan cuba mendapatkan semula pinjaman.
Sebaik sahaja pinjaman anda dimasukkan ke dalam akaun pemerhatian khas ini, ia akan dipaparkan pada rekod CCRIS anda dan bank tidak akan menilainya dengan baik apabila anda memohon pinjaman rumah anda yang baharu.
Sekiranya bank, institusi kewangan atau mana-mana pemiutang lain (contohnya syarikat atau tuan tanah) memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap anda untuk mendapatkan semula wang yang anda berhutang kepada mereka, ia akan dipaparkan dalam sejarah kredit anda.
Seseorang diisytiharkan muflis oleh mahkamah apabila dia tidak dapat menjelaskan hutang yang ada. Penghutang boleh secara sukarela mengisytiharkan dirinya muflis atau pemiutang boleh memulakan prosiding muflis terhadap penghutang yang berhutang lebih daripada RM100,000.
Sebarang kes undang-undang terhadap anda atau pengisytiharan muflis akan muncul pada laporan CCRIS dan CTOS anda.
Hutang tidak terhad kepada hutang institusi kewangan sahaja. Sesetengah syarikat yang menyediakan perkhidmatan seperti telekomunikasi dan utiliti juga akan melaporkan kepada CTOS sekiranya anda gagal membayar bil anda.
Sebagai contoh, jika anda gagal membayar bil Telekom, Tenaga Nasional atau Astro anda, mereka boleh menyenaraikan anda di bawah rujukan perdagangan kepada CTOS.
Butiran seperti jumlah hutang dan tempohnya akan dihantar kepada CTOS. Ia akan kekal dalam rekod anda sehingga hutang tertunggak tersebut diselesaikan. Sekiranya anda berjaya membuat penyelesaian penuh, maklumat anda akan dikeluarkan daripada senarai hitam dalam masa tiga hari bekerja.
Mereka yang telah disenaraihitamkan kerana skor kredit yang buruk mungkin tertanya-tanya bagaimana cara mereka boleh memulihkan rekod CCRIS dan CTOS tersebut dan seterusnya mengeluarkan diri dari senarai hitam.
“Sejarah kredit yang buruk berkemungkinan besar akan menyebabkan permohonan pinjaman rumah anda ditolak pihak bank. Sekiranya ini berlaku, penolakan tersebut akan kekal dalam rekod dalaman bank selama sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan dan anda berkemungkinan besar tidak akan mendapat pinjaman daripada bank yang sama dalam tempoh tersebut. Ini akan menjejaskan sebarang perancangan anda untuk membeli hartanah,” kata Hooi, yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam industri pinjaman dan telah menubuhkan Smart Choice Solution Sdn Bhd 10 tahun lalu bersama isterinya Jasmine Khor.
Menurutnya lagi, adalah penting bagi pembeli rumah dengan rekod kredit yang buruk untuk memulihkan rekod kredit tersebut sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman rumah.
“Nasihat saya adalah agar mereka yang mempunyai rekod kredit buruk ini menyemak rekod CCRIS dan CTOS untuk mengetahui status kewangan semasa mereka dan membuat rancangan untuk menjelaskan sebarang hutang tertunggak. Dengan cara ini, mereka boleh meningkatkan skor kredit mereka pada CCRIS dan CTOS,” katanya.
Hooi telah berkongsi 4 petua untuk meningkatkan peluang anda mendapat kelulusan pinjaman rumah dan membeli rumah idaman anda.
Rekod tunggakan akan kekal dalam rekod CCRIS anda selama 12 bulan dan dalam CTOS selama 24 bulan. Itulah tempoh masa yang diperlukan untuk memulihkan rekod CCRIS dan CTOS anda.
Jika anda tidak dapat menyelesaikan hutang secara penuh, anda perlu sekurang-kurangnya menyelesaikan semua jumlah tertunggak dan mengekalkan rekod pembayaran mengikut masa yang ditetapkan selama 12 bulan berturut-turut untuk CCRIS atau 24 bulan untuk CTOS untuk menghapuskan rekod tunggakan.
“Jika pelanggan berjaya menyelesaikan hutang sepenuhnya dan memulihkan rekod CCRIS mereka yang buruk tersebut, mereka boleh mengemukakan semula permohonan pinjaman selepas rekod tersebut dikemas kini dalam sistem CCRIS,” ujar Hooi.
Perlu diketahui juga sekiranya anda mempunyai saman mahkamah, anda perlu menunggu selama dua tahun walaupun anda telah menyelesaikan sepenuhnya saman tersebut. Ini kerana rekod saman mahkamah akan kekal dalam CTOS selama dua tahun.
Sekiranya anda memiliki hartanah dan menghadapi kesukaran untuk membayar pinjaman bagi hartanah tersebut, anda boleh mempertimbangkan untuk menjualnya dan seterusnya mengurangkan komitmen yang sedia ada. Ini juga akan memberi anda wang tunai tambahan bagi menyelesaikan hutang yang lain.
“Sekiranya ada ahli keluarga yang sudi membantu, anda boleh menjual hartanah tersebut kepada mereka buat sementara waktu. Anda kemudiannya boleh membeli semula harta itu sebaik sahaja semua hutang telah dijelaskan dan anda akan mempunyai rekod kredit yang lebih baik,” nasihat Hooi.
Jika anda memiliki hartanah dan nilai hartanah tersebut telah meningkat, anda boleh membuat pembiayaan semula pinjaman rumah yang sedia ada. Dengan itu, anda akan mempunyai wang tunai tambahan untuk menyelesaikan sebarang hutang yang memberikan rekod kredit yang buruk.
Anda juga boleh mencagarkan harta tersebut bagi mendapatkan pinjaman crowdfunding (dana khalayak) untuk membayar hutang sedia ada.
Hooi menasihatkan mereka yang mempunyai rekod kredit buruk supaya dapatkan nasihat daripada perunding gadai janji dan bukannya memohon pinjaman rumah terus daripada bank.
“Setiap bank mempunyai segmen pelanggan pilihan sendiri dan penilaian tahap risiko. Oleh itu, adalah lebih baik untuk dapatkan nasihat daripada perunding gadai janji untuk memahami status kewangan semasa anda sebelum mengemukakan sebarang permohonan pinjaman baharu. Ini akan meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan kelulusan pinjaman,” katanya.
Kesimpulannya, kebanyakan permohonan pinjaman sangat bergantung kepada keputusan laporan CCRIS dan CTOS pemohon.
Peminjam dinasihatkan untuk melakukan semakan CCRIS dan CTOS dari semasa ke semasa untuk mengetahui butiran terkini mengenai status kewangan mereka sekiranya mereka ingin memohon pinjaman perumahan.