fbpx

Cara Batal Permohonan Pinjaman Perumahan Di Malaysia

How To Cancel A Home Loan Application In Malaysia?

Ramai antara kita yang bergantung kepada pinjaman untuk pembelian besar seperti rumah dan kereta, atau apabila kita memerlukan wang tunai tambahan semasa kecemasan. Tetapi apakah yang berlaku sekiranya kita berubah fikiran atau perlu membatalkan permohonan pinjaman akibat sesuatu yang tidak dijangka? Kami telah meminta seorang pakar gadai janji untuk berkongsi mengenai implikasi pembatalan permohonan pinjaman perumahan di Malaysia.

Artikel ini diterjemah dari How To Cancel A Home Loan Application In Malaysia? oleh Ashraf Wahab.

Setelah selesai membuat kajian tentang pakej pinjaman yang sesuai untuk diri anda, langkah seterusnya adalah untuk mengikat perjanjian pinjaman tersebut. Secara amnya, peminjam perlu menandatangani Surat Tawaran dan Perjanjian Pinjaman dengan pihak bank dalam suatu tempoh yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, mungkin akan timbul situasi di mana peminjam ingin membatalkan hasrat untuk memohon pinjaman perumahan tersebut.

Sekiranya ini berlaku, apakah implikasi kepada anda apabila anda membatalkan permohonan pinjaman perumahan di Malaysia?

iProperty Malaysia telah mendapatkan pandangan daripada pakar gadai janji dari Smart Choice Solution Sdn Bhd, Ethan Phoon tentang soalan lazim ini, dan apakah akibat daripada pembatalan permohonan pada setiap peringkat yang berbeza.

 

Apakah Punca Paling Kerap Seorang Peminjam Membatalkan Permohonan Pinjaman Perumahan Mereka?

What Are The Most Common Reasons Borrowers Cancel Their Home Loan Applications?

Sudah menjadi lumrah manusia untuk menukar fikiran. Begitu juga keadaanya dengan peminjam. Mereka mungkin berfikir dua kali tentang permohonan pinjaman perumahan mereka.

Oleh itu, kita perlu mengambil kira semua kebaikan dan keburukan sebelum membuat suatu permohonan pinjaman.

Berikut merupakan 9 punca paling kerap yang menyebabkan seorang peminjam membatalkan permohonan pinjaman perumahan mereka:

  1. Pengaruh ahli keluarga
  2. Kecemasan kewangan
  3. Mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan
  4. Menemui kadar faedah yang lebih rendah daripada bank lain
  5. Menerima hadiah wang daripada keluarga, rakan atau saudara mara
  6. Aset atau wang yang diwarisi
  7. Kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan semasa
  8. Tidak berpuas hati dengan terma dan syarat daripada bank yang memberi pinjaman
  9. Menyedari ketidakupayaan untuk membayar balik pinjaman

Walau apapun puncanya, seeloknya peminjam membatalkan permohonan pinjaman perumahan tersebut sebelum bank mengeluarkan wang pinjaman, samaada kepada peminjam atau pihak lain. Setiap bank mempunyai prosedur yang berbeza.

Kami di iProperty.com.my mempunyai LoanCare, iaitu satu penilai kelayakan pinjaman perumahan yang boleh digunakan untuk mengira dan seterusnya membandingkan sehingga 17 pilihan bank untuk anda. Apa yang ditunggu lagi? Buat pilihan yang terbaik untuk diri anda sekarang!

 

Apakah Akibat Daripada Membatalkan Permohonan Pinjaman Perumahan Di Malaysia?

Sekiranya anda telah putuskan untuk tidak meneruskan permohonan pinjaman, anda perlu melihat pada peringkat manakah yang anda berada dalam proses permohonan pinjaman tersebut.


Situasi 1: Jurujual bank belum menyerahkan lagi permohonan pinjaman perumahan anda

Kebiasaannya, jurujual bank akan menemui anda untuk menilai keadaan kewangan anda, mengumpul dan menyediakan dokumen untuk diserahkan kepada jabatan pinjaman mereka.

Pada peringkat ini, anda perlu menghubungi jurujual bank berkaitan untuk menyatakan hasrat anda untuk menarik balik permohonan pinjaman tersebut dan meminta mereka untuk memusnahkan semua dokumen anda. Anda juga boleh berjumpa terus dengan jurujual bank tersebut untuk mengambil dokumen anda.

Tiada sebarang kos atau denda yang dikenakan pada peringkat ini.


Situasi 2: Permohonan pinjaman perumahan anda telah diserahkan untuk penilaian

Sesudah mengumpul semua dokumen yang diperlukan daripada anda, jurubank akan menyerahkannya kepada pihak penilai supaya mereka boleh membuat semakan kesihatan kewangan anda secara lebih terperinci.

Pihak bank juga akan meminta laporan CCRIS anda daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemak sejarah kredit anda. Mereka juga perlu memberikan maklumat tentang permohonan pinjaman anda, seperti jumlah pinjaman yang dipohon.

Pada peringkat ini, anda boleh memaklumkan kepada jurubank bahawa anda tidak berhasrat untuk meneruskan permohonan pinjaman perumahan dengan memberikan notis bertulis. Masih tiada sebarang kos atau denda yang dikenakan pada peringkat ini.

Bagaimanapun, memandangkan pihak bank telah memohon rekod CCRIS anda, ia akan dinyatakan di dalam rekod sebagai “menunggu kelulusan”. Ia akan kekal sedemikian selagi jurubank tidak membatalkan permohonan pinjaman perumahan tersebut.

Sekiranya jurubank telah membatalkan permohonan pinjaman perumahan tersebut, kenyataan “menunggu kelulusan” akan dipadam pada rekod CCRIS anda pada kitaran kemaskini yang seterusnya.

home loan application


Situasi 3: Permohonan pinjaman perumahan anda telah diluluskan

Setelah pinjaman perumahan diluluskan, satu surat tawaran akan dikeluarkan. Bergantung kepada prosedur, sebahagian bank akan mengeluarkan surat tersebut secara automatik, manakala sebahagian yang lain pula memerlukan pengesahan daripada kakitangan jualan terlebih dahulu.

Dalam rekod CCRIS anda, permohonan pinjaman perumahan anda akan dinyatakan sebagai “Diluluskan oleh FI” (*FI = Financial Institution — Institusi Kewangan). Untuk membatalkan permohonan pinjaman perumahan pada peringkat ini, maklumkan kepada bank dengan memberikan notis bertulis.

Sebaik sahaja jurubank telah mengemas kini permintaan pembatalan, ia akan dipadam pada rekod CCRIS anda pada kitaran kemaskini yang seterusnya.

CCRIS record

Masih tiada sebarang kos atau denda yang dikenakan pada peringkat ini.


Situasi 4: Anda telah pun menandatangani surat tawaran bank

Anda teruja dengan kelulusan daripada bank, dan seterusnya menandatangani surat tawaran yang disediakan. Namun, anda mengalami perubahan hati. Pada peringkat ini, ia bergantung kepada apa yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran yang telah anda tandatangani.

Sesetengah bank tidak akan mengambil sebarang tindakan, manakala sesetengah yang lain pula akan mengenakan bayaran denda. Jika terdapat bayaran denda, yuran pentadbiran bernilai kurang daripada RM2,000 akan dikenakan. Oleh itu, anda harus membaca surat tawaran dengan teliti sebelum menandatanganinya.

Penalty on housing loan cancellation in Malaysia


Situasi 5: Anda telah pun menandatangani perjanjian pinjaman bank

Kebiasannya, selepas peminjam menandatangani surat tawaran bank, pihak bank akan mendapatkan salah seorang peguam panel mereka untuk meneruskan proses perjanjian pinjaman. Peminjam akan bertemu peguam tersebut untuk menandatangani perjanjian pinjaman yang diperlukan untuk pengeluaran wang pinjaman.

Sekiranya anda telah menandatangani perjanjian pinjaman tetapi memutuskan untuk tidak meneruskan pinjaman tersebut, anda akan dikenakan bayaran pentadbiran oleh bank dan peguam. Yuran tersebut adalah bergantung kepada jumlah pinjaman yang diambil oleh anda.

Sekiranya pinjaman dibatalkan, pihak bank mempunyai hak untuk mendapatkan semula daripada peminjam semua yuran guaman, duti setem dan perbelanjaan berkaitan lain yang terpaksa ditanggung.

Perjanjian pinjaman mengandungi klausa pembatalan. Anda boleh mendapatkan khidmat penasihat undang-undang sekiranya anda memerlukan bantuan dalam memahami klausa pembatalan yang ditetapkan dalam perjanjian pinjaman.


Situasi 6: Bank telah pun mengeluarkan wang pinjaman perumahan

Setelah bank mengeluarkan wang pinjaman perumahan kepada anda, anda tidak lagi boleh membatalkannya. Anda perlu menyelesaikan keseluruhan jumlah tersebut dan kemungkinan besar, anda akan dikenakan bayaran “yuran penyelesaian awal” yang biasanya dinyatakan dalam surat tawaran bank.

Kebiasannya, yuran penyelesaian awal adalah 2% daripada jumlah pinjaman yang diluluskan oleh bank.

 

Adakah Pembatalan Permohonan Pinjaman Perumahan Menjejaskan Skor Kredit Peminjam?

Sekiranya peminjam membatalkan permohonan pinjaman perumahan sebelum wang pinjaman dikeluarkan, skor kredit peminjam tidak terjejas.

Namun, sekiranya peminjam membatalkan pinjaman selepas wang pinjaman dikeluarkan, status pinjaman akan dicatatkan dalam rekod CCRIS. Oleh itu, peminjam perlu menjelaskan keseluruhan pinjaman untuk komitmen pinjaman tersebut dipadamkan pada rekod CCRIS. Jika tidak, ia akan menjejaskan skor kelayakan pinjaman peminjam.

 

Bagaimana Untuk Membatalkan Permohonan Pinjaman Di Malaysia?

Langkah 1: Hubungi jurujual yang bertanggungjawab ke atas permohonan pinjaman perumahan anda. Beritahu tentang niat anda untuk membatalkan permohonan pinjaman tersebut.

Langkah 2: Hantar notis bertulis ke cawangan bank tempat jurujual itu bertugas. Surat dan/atau e-mel diterima. Ada yang lebih suka e-mel, kerana mereka boleh meminta pengesahan penerimaan e-mel daripada jurujual. Dengan cara tersebut, terdapat tanda masa yang boleh mengelakkan sebarang salah faham atau pertikaian.

 

Contoh Surat Batal Pinjaman Perumahan Kepada Bank Di Malaysia

Nama anda

Alamat anda

Bandar, Negeri, Poskod

TARIKH

Nama Pegawai Pinjaman

Nama Bank

Alamat Bank

Bandar, Negeri, Poskod

RE: Pembatalan permohonan pinjaman kereta/rumah/peribadi saya

[Nama Pegawai Pinjaman] yang dihormati,

Surat ini adalah sebagai jawapan kepada panggilan telefon kami pada [TARIKH], di mana saya telah memaklumkan bahawa saya ingin membatalkan permohonan pinjaman dan surat ini berfungsi sebagai pemberitahuan bertulis.

Pada [TARIKH], saya memohon pinjaman [kereta/rumah/peribadi] dan menyelesaikan semua kertas kerja yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan.

Walau bagaimanapun, [BERIKAN ALASAN ANDA DI SINI cth. Saya telah menemui pemberi pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah untuk jumlah yang sama yang saya perlukan untuk gadai janji saya.]

Sila batalkan permohonan pinjman saya dan kembalikan semua dokumen kepada saya secepat mungkin. Saya bersedia untuk singgah ke bank dan mengambil kesemua dokumen tersebut, sebaik sahaja anda memaklumkan bahawa mereka sudah tersedia.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi saya di [NOMBOR TELEFON] atau [ALAMAT E-MEL]. Sila beritahu saya bila saya boleh mengambil dokumen-dokumen tersebut, pada atau sebelum [TARIKH].

Yang benar,

[Tandatangan anda]

[Nama Cetakan Anda]

 

Kaji Dan Fikir Masak-masak Sebelum Menandatangani Perjanjian

Terdapat pelbagai kemungkinan akibat daripada keputusan anda untuk membatalkan permohonan pinjaman. Tidak kira apa pun jenis pinjaman yang dipohon, anda perlu bijak menimbang semua kebaikan dan keburukan yang ada sebelum membuat sebarang permohonan pinjaman.

Anda juga boleh menghubungi penasihat undang-undang, atau perancang kewangan profesional seperti Smart Choice Solution, untuk memahami sepenuhnya hak dan tanggungjawab anda apabila memohon pinjaman perumahan di Malaysia.

BACA LAGI

Pemberitahuan: Semua maklumat yang diberikan di laman web ini disediakan atas dasar “sebagaimana adanya” dan “sebagaimana tersedia” dan anda bersetuju bahawa anda menggunakan maklumat tersebut sepenuhnya atas risiko anda sendiri.

Maklumat yang diberikan adalah untuk tujuan pendidikan sahaja, dan bukan merupakan nasihat undang-undang atau kewangan. iProperty Malaysia berhak untuk menukar mana-mana bahagian tanpa sebarang notis. Walaupun segala usaha telah dibuat untuk memastikan maklumat yang diberikan adalah tepat, individu tidak boleh bergantung sepenuhnya pada maklumat untuk membuat keputusan undang-undang atau pelaburan. Sebelum membuat sebarang keputusan, berunding dengan profesional untuk mengambil kira situasi khusus anda dan keperluan individu.

Dalam apa jua keadaan, iProperty Malaysia dan pekerjanya tidak akan bertanggungjawab atau dipertanggungjawabkan dalam apa cara sekalipun untuk sebarang tuntutan, kerosakan, kerugian, perbelanjaan, kos atau liabiliti dalam apa jua keadaan (termasuk, tanpa had, sebarang kerosakan langsung atau tidak langsung untuk kehilangan keuntungan, gangguan perniagaan atau kehilangan maklumat) akibat atau timbul secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan atau ketidakupayaan anda untuk menggunakan laman web ini atau mana-mana tapak web yang dipautkan kepadanya, atau daripada pergantungan anda pada maklumat dan bahan di laman web ini, walaupun iProperty Malaysia telah dinasihatkan tentang kemungkinan itu. daripada kerosakan tersebut terlebih dahulu.